SEKAPUR SIREH, SEULAS PINANG
Semulus Rasa, Seputih Bicara,
Oleh Blog Editor E-JAZIRAH Online
Tahun 2008 bakal menutup tirai tidak sampai dua bulan lagi. Tetapi bagi dunia persekolahan tahun 2008 akan melabuhkan tirainya tidak sampai 2 minggu lagi. Tahun 2008 ini bolehlah dikatakan sebagai tahun ICT bagi Komuniti Maya Guru-guru j-QAF Daerah Langkawi khususnya, dan Komuniti j-QAF Kedah amnya.
Bagi saya, tahun ini sama ada disedari atau tidak oleh orang lain saya tetap teruja. Beberapa perkara baru telah berjaya dibawa masuk dalam komuniti guru-guru Pendidikan Islam dan Bahasa Arab khususnya Guru j-QAF.
Saya katakan begitu kerana beberapa sebab dan alasan. Mari kita perincikan bersama:
1. Tahun 2008 apabila disebutkan orang 5 atau 10 tahun lagi tentulah perkara yang paling akan saya ingat adalah pelancaran Website SPPIM JPN Kedah yang dikemaskini, E-JAZIRAH Online, Forum Komuniti j-QAF JPN Kedah (diurus oleh Ustaz Mohd Isa SK Hosba), Blog-blog j-QAF dan Blog-blog pegawai serta guru-guru j-QAF yang tumbuh subur dalam tahun 2008 ini.
2. Jika diperincikan satu persatu Website SPPIM JPN kedah (Portal Interaktif) lebih awal lagi dilancarkan pada Oktober 2007 di Grand Continantel, Alor Star oleh Yang Berusaha Tn. Hj. Mohd Rushdan Bin Azizan yang ketika itu merupakan Pen. Pengarah j-QAF SPPIM JPN Kedah. Kemudian selepas masalah teknikal saya selaku penyelaras telah mengubah ke tapak baru di http://sppimked.bravehost.com/.
3. Kewujudan satu portal SPPIM JPN Kedah belum mencapai maksud sebenar lagi. Justeru kemudian itu, saya melancarkan pula E-JAZIRAH Online (http://e-jazirah.bravehost.com/) sebuah website yang menjadi medan download. Inspirasi asal website ini adalah daripada Tn. Hj. Mohd Rushdan Azizan. Tetapi ada beberapa cerita misteri di sebalik kewujudan website ini yang tidak diketahui kecuali beberapa orang sahaja. Mengapa E-JAZIRAH Online? Ini percubaan pertama saya untuk memastikan adanya guru-guru yang memanfaatkan dunia ICT sebaik yang mungkin. Bukan sekadar untuk mencari bahan, bahkan ia medan perkongsian pintar. Sila rujuk kata-kata aluan saya di blog tersebut.
4. Tidak cukup itu, Tn. Hj. Mohd Rushdan yang sentiasa proaktif dan peka mencadangkan kewujudan satu lagi laman maya interaktif bersifat Forum. Pada masa ini saya memberi peluang dan ruang kepada Us. Mohd Isa (SK Hosba) untuk mengendalikannya. Alhamdulillah, sememangnya Us. Mohd Isa melaksanakan Forum Komuniti j-QAF Kedah dengan mantap sekali. Tahniah. Forum: http://jqafkedah.forumotion.com/
5. Setelah itu, saya mula teruja dengan dunia blog di kalangan komuniti. Saya mula berangan-angan untuk membawa cadangan ini ke JPN Kedah khususnya kepada pegawai-pegawai di SPPIM (Sekarang SPPI). Ternyata, dugaan saya tepat. Tn. Hj. Mohd Rushdan sekali lagi menyambut baik cadangan ini. Jauh di sudut hati saya terasa cukup kagum dengan sikap pegawai kami itu. Mesyuarat yang saya hadiri bersama sahabat karib saya Us. Mohd Rokhaimi (SK Kedawang) dan Us. Akmal (SK Seri Muda) di PSPN Kedah (sekarang BTP Kedah) kemudian menghasilkan impak yang maksima. Apa tidaknya kemudian itu, Blog SPPIM Kedah yang dikendalikan oleh Tn. Hj. Mohd Rushdan telah berjaya menjadi medan maklumat khususnya kepada warga guru Pendidikan Islam dan j-QAF di Negeri Kedah. Dalam masa yang sama, Blog Ustaz Musa Jayyid Mohamad Pegawai j-QAF JPN Kedah juga mendampingi dunia ini. Blog-blog pegawai yang lain kemudian mulai tumbuh tetapi tidaklah seaktif blog yang dikendalikan oleh Tn. Hj. Mohd Rushdan Azizan.
6. Selain itu, blog-blog sekolah pun mula dihidupkan. Blog-blog sekolah ini dikhususkan kepada aktiviti j-QAF di sekolah dan Daerah sama ada melibatkan aktiviti murid atau aktiviti guru. Blog-blog sekolah ini kemudian menjadi rujukan dan perkongsian maklumat yang berkesan dengan kemantapan dunia ICT. Malah ada di kalangan pengendali blog yang menyewa streamix, melanggan broadband wireless dan sebagainya semata-mata untuk memastikan blog dapat dihidupkan. Tahniah dan syabas. Berita-berita komuniti pun tersebar dengan cepat. Saya mengkhususkan di Kedah, banyak blog-blog j-QAF telah wujud. Di langkawi blog j-QAF SK Kedawang adalah yang pertama diwujudkan di kalangan blog-blog j-QAF selain Blog j-QAF SK Padang Matsirat, Blog j-QAF SK Kuala Teriang, Blog j-QAF SK Temoyong dan Blog j-QAF SK Sg. Menghulu. Barangkali ada lagi yang tidak disebutkan. (Link ada di sebelah).
7. Tidak ketinggalan ada juga kalangan guru yang aktif dalam dunia blog. Antaranya ialah Blog Amrusyam yang dikendalikan oleh Us. Amir Nason (JLU Bahasa Arab Kedah), Blog Akhimizi yang dikendalikan oleh saya sendiri Blog Jauhar dikendalikan oleh Us. Johari Abdullah (SK Langkawi), Blog Abu Anas dikendalikan oleh Us. Abdul Malik Isa (SK Kelibang). (Sekadar beberapa contoh). Mereka bukan sekadar berminat untuk menulis dan berblog malah kadang kala memberikan pandangan terhadap dunia pendidikan yang mereka ceburi. Tahniah kepada guru-guru yang proaktif ini.
Kesimpulannya, saya tidak akan lupa tahun 2008 yang menguja ini. Bagi orang lain, barangkali mereka mengingatinya dengan cara yang berbeza.
Dunia blog terus subur dalam diri para warga pendidikan khususnya guru-guru j-QAF di Kedah. Jika manfaat ini terus ditemani dengan jiwa yang kental dan semangat yang jitu, pasti teknodaie yang bukan sekadar mengajar di sekolah bahkan menyumbang kepada dunia yang lebih luas.
Saya mengambil kesempatan ini untuk melancarkan satu lagi Blog yang akan menemani E-JAZIRAH Online di tapak http://e-jazirah.bravehost.com/ sebagai buku catatan Komuniti Maya Guru-guru j-QAF di Langkawi.
Salam j-QAF.
No comments:
Post a Comment